Curi Idea vs Curi Design?

Curi Idea vs Curi Design?

Tiada idea yang asli di zaman digital ini.

15 tahun dahulu iPhone mungkin kelihatan seperti inovasi baharu padahal sebelumnya telah wujud Personal Digital Assistant (PDA) yang berfungsi sama seperti iPhone. Namun apa yang membezakannya adalah rekabentuk, antaramuka (interface) dan kestabilan perisian. Paling penting adalah jalan cerita dan penjenamaan produk Apple itu sendiri yang telah memacu kenaikan jumlah jualan yang saban hari masih bertahan. Model iPhone yang sangat berjaya telah menarik minat Samsung untuk mencuba idea yang sama menggunakan elemen berbeza. Ini menyebabkan Apple mengeluarkan saman terhadap Samsung namun tidak memberi kesudahan yang diimpikan oleh Apple kerana pendaftaran patent iPhone hanya melindungi perincian rekabentuk sahaja.

Dari kajian kes ini, sesebuah rekabentuk boleh kita klasifikasikan sebagai karya seni yang nilainya terletak pada perincian bukanlah pada idea konsep kerana secara amnya, tiada siapa yang layak untuk memiliki hak cipta mutlak pada sesebuah idea yang dikembangkan dari idea orang lain. Contoh mudah seperti, tiada orang yang layak memiliki hak cipta perabot 'kerusi' kerana asal usul kerusi dtg dari tunggul kayu dan batu semulajadi. Sebaliknya rekabentuk sesebuah kerusi yang unik memang dimiliki khas oleh Sang Pereka contohnya seperti 'Barcelona Chair' oleh Mies van der Rohe, seorang arkitek Bauhaus terkenal dalam sejarah senibina moden.

Hari ini, kita disumbatkan dengan terlalu banyak infomasi sehingga tepu dan perlu disaring. Kebiasaan kami di Flatpak akan sering merujuk gambar-gambar indah di Pinterest untuk memberi idea dan inspirasi ketika melaksanakan sesuatu projek yang melibatkan rekabentuk. Jika dikorek platform itu, percayalah tiada satu idea pun yang unik namun masing-masing berbeza dari segi estetik, skala, materialiti, dan fungsi. Campuran ini kami panggil komposisi.